Saturday, 9 April 2011

"NUR BALQIS"




CERPEN :  

“ NUR BALQIS ”





Ku kuak pintu yang tertutup sempurna, debar kian menggoncah dada. Kata-kata ummi terngiang-ngiang di halwa telinga,  Keadaan Balqis semakin tenat, doktor sudah mengusahakan yang terbaik untuk Balqis, tapi………”. Ummi tidak mampu untuk menghabiskan kata-katanya.

Ku hampiri sekujur tubuh itu, perlahan….

“Assalamualaikum, adikku...
Apa khabar?
Macam mana keadaan Balqis hari ini?”

Sunyi… sepi, tiada jawapan. Bibir itu tetap membisu seperti selalu.

Doktor telah mengesahkan bahawa Balqis menghidap penyakit buah pinggang dan sudah berada ditahap kronik  yang mana kedua-dua buah pinggangnya sudah tidak dapat berfungsi. Dan menurut doktor,  otak Balqis juga sudah tidak berfungsi. Kini, Balqis hanya bergantung dengan wayar-wayar ditubuhnya untuk terus hidup.


******************************


" Akakkkkkkk!!!!  Tahniah kak! Rindu sangat kat akak....lama dah tak tengok akak. Akak pergi mana?".  Wajah manis itu menyapa sewaktu hari konvokesyen ku pada 10 Oktober 2010 yang lepas. Sekuntum tulip biru berpindah ke tanganku, hadiah tanda tahniah kata Balqis. Balqis kemudiannya lantas manyalami dan mencium tanganku. Perkara lazim yang akan dilakukan Balqis setiap kali berjumpa denganku, malah juga kepada kakak-kakaknya senior yang lain. Dalam erti kata lain, boleh juga dikatakan ‘Trademark’ bagi diri Balqis, amat menghormati dan menyenangkan insan-insan yang berada disekelilingnya.

" Eh, Balqis! Subhanallah, cantiknya tulip biru  ni! terima kasih Balqis, akak suka sangat!”  Ujarku sambil memeluk dirinya tanda pemberiannya benar-benarku hargai.

Lamanya tak jumpa Balqis. Akakpun rindu sangat-sangat kat Balqis. Emm...akak kan dah habis belajar, jadi kena duduk luar lah, mana boleh stay dalam UNIMAS lagi. Tu yang lama tak tengok akak tu...menghilang sekejap. hihi..." . Jelasku padanya sambil menghadiahkan sebarisan gigi putihku, seperti biasa senyuman ‘Marigold’ dariku.

Balqis tergelak melihat gelagat ku.

“Akak, Balqis nak pergi rumah akaklah! Bila Balqis boleh pergi ni?”

"Bila-bila masa je Balqis nak ok, kedatangan Balqis amat dialu-alukan. Kenapa nak kena minta izin pula ni? Emm…kalau Balqis datang nanti, akak siap hampar karpet merah untuk Balqis",  Aku cuba bergurau senda dengan Balqis walaupun dalam hati ada sesuatu  yang membuatkan aku tertanya-tanya apabila melihat inci wajah mulus itu.

Balqis  cuma tersenyum mendengar kata-kataku. Dia tidak petah membidas  ‘hujah-hujah’ ku seperti kebiasaannya.
"Emm...leka menyembang terlupa nak tanya khabar, Balqis sihat ke? muka Balqis nampak pucat je?" Aku cuba mencungkil rahsia kedukaan di wajah itu. Kakak-kakak senior pernah memaklumkan ku bahawa Balqis mempunyai masalah kesihatan yang agak kritikal. Tetapi aku masih tetap ingin mengetahuinya dari bibir Balqis sendiri.
"Errr, Balqis tak apa-apalah kak, sihat walafiat je…just tadi kelam kabut nak jumpa akak sampai terlupa nak touch up sikit muka ni, kangen bangat ler katakan" selorohnya sambil menyimpulkan senyuman palsu bagiku. 

Balqis memang tersenyum, tapi hambar.  Mungkin baginya sudah cukup manis untuk menyedapkan rasa, namun tetap tawar pada mataku, kerana aku tahu disebalik senyuman itu terlindung seribu duka yang disembunyikan oleh gadis kecil itu. Disebalik senyumannya itu, aku tahu Balqis sedang menyembunyikan sesuatu dariku. Wajahnya yang tadi ceria kelihatan sedikit berubah.
                                                                                            
"Em..kak, Balqis mintak diri dululah ea kak. Tengah program sebenarnya, Balqis mintak excuse kejap je tadi, Balqis Fasilitator jadi kena cepat-cepat balik", jelasnya. Dia menundukkan wajahnya seolah-olah tidak mahu membenarkan aku menatap wajahnya.

"Owh,kalau macam tu okey, okey...hati-hati ye!", jawab ku ringkas. Aku membiarkannya pergi walau di hati terkandung penuh persoalan. Balqis tiba-tiba seolah-olah mahu mengelakkan diri dariku. Tapi kenapa?


************************


Rupa-rupanya, itulah pertemuan kami yang terakhir sebelum sekujur tubuh ini membisu kaku.
Nur Balqis, namanya seindah pekertinya. Tawa dan senyumannya suatu tika dulu, sering kali mencuit hatiku tiap kali bertemu. Tiap kali bersua, tidak pernah wajah itu bermasam muka, marah-marah jauh sekali. Sentiasa tenang dan ceria. Itulah keistimewaan empunya sekujur tubuh ini. Namun, semua telah berlalu. Perjalanan dunia takkan pernah terhenti, seumpama pengembaraan manusia menuju ke alam abadi.
Sekujur tubuh ini mungkin ini tidak akan pernah lagi menjawab apa  yang akan aku tanya. Mungkin tidak akan pernah lagi rajin menyapaku di chat box FB pada tiap senja malam.  Mungkin tidak akan pernah ada lagi senyuman Nur Balqis terukir buatku, tidak akan ada lagi gelak tawa, tiada lagi usikan-usikan manja. Kerana, Nur Balqis masih membisu, matanya kian tertaut erat, ibaratnya seolah-olah sudah bersedia mengakhiri kembara hidupnya.

Sekujur tubuh itu terus sepi bersama kesakitan yang ditanggung sendirian…


************************


Balqis, bangun Balqis...
Jangan membisu begini.
Jangan diam begini....
Jangan buat akak risau macam ni...



Balqis, bangunlah....
Perjuangan Balqis belum selesai.
Balqis tak boleh tinggalkan perjuangan Balqis macam tu je.
Balqis kena bangun!

Bangunlah Balqis.
Bangun...................

Kenapa Balqis tak jawab?
Kenapa Balqis diam?
Kenapa Balqis membisu?
Balqis, jawab Balqis.... jawab.......

Balqis,
Akak rindu gelak tawa Balqis,
Akak rindu senyuman Balqis..
Akak rindu keletah Balqis,
Akak rindu usikkan Balqis.....
Rindu sangat-sangat....

Balqis,
Bangunlah Balqis, bangun.................
Jangan tinggalkan akak tanpa ucap selamat tinggal,
Balqis  tak boleh buat akak macam tu,

***********************
Ya Allah, aku mohon ya Allah, Engkau sembuhkanlah Nur Balqis.
Ringankanlah sakitnya ya Allah. Bantulah dirinya untuk terus berjuang melawan penyakitnya.
Kuatkanlah hatinya ya Allah....kuatkan hati adikku ini.
Lindungilah dirinya dari putus asa.
Namun, ya Allah.. 
Andai  mati itu lebih baik untuknya,
maka matikanlah dirinya dalam Husnul Khatimah.


- Laskar Sang  Pemimpi -



Jiwa Cinta Seorang Da'ie ......


PENULISAN RENCANA :


JIWA CINTA SEORANG DA’IE
Oleh : Siti Noor Rohaniza Habari



Ya Allah, aku mohon cinta-Mu dan cinta orang mencintai-Mu, serta semua amalan yang mendekatkanku kepada cinta-Mu
(Munajat Rasulullah s.a.w kepada Kekasihnya yang Maha Tinggi dan Maha Agung)

“Jiwa Cinta Seorang Da’ie...” , sengaja saya pilih tajuk yang mungkin kedengaran agak puitis bagi sesetengah orang yang berjiwa romantis. Namun bukanlah kisah cinta biasa yang ingin dibicarakan di sini, akan tetapi tentang cinta termahal yang tidak mungkin akan mampu dibeli oleh mana-mana jutawan pun atas seluruh muka bumi ini melainkan “ Jutawan Iman dan Taqwa.” 
10 tahun yang lalu , tidak pernah terlintas pun di hati ini untuk menawan cintaNya. Malah tidak pernah terdetik pun dalam sanuburi jiwa rasa “jatuh cinta” pada Dia. Saya tidak pernah ambil tahu apa-apa pun tentang diriNya. Benar,tiada sebarang rasa pun untuk mencintaiNya. 
Bersyukur kini, 10 tahun yang lalu bukan lagi saya . CintaMu kini menjadi cita-cita terulung dalam hidup. Banyak yang telah diri ini ketahui tentang diriMu. Kau buat diri jadi penasaran apabila terkenang akan kejahilan silam. Benar,saya telah jatuh cinta… izinkan diri untuk terus menerus meraih cinta-Mu ya Rabbi, cintailah hamba yang dhoif lagi hina ini.
Surat Cinta Berbau Syurga
Assalamualaikum w.b.t, maafkan akak sebab terpaksa tulis surat ni untuk adik. Akak tak punya kekuatan untuk tegur adik secara berdepan, akak tak sanggup tengok muka adik sedih, sebab akak yakin adik seorang yang baik dan akak amat menyayangi adik.
Dik, akak harap adik gunakanlah handphone yang akak bagi dengan sebaiknya. Akak bagi adik 
handphone untuk memudahkan adik menghubungi keluarga di kampung dan untuk sebarang 
urusan yang memerlukan adik menghubungi sesiapa yang berkenaan. Tapi, akak harap sangat 
adik dapat kurangkan berhubung dengan kenalan muslimin adik atas urusan-urusan yang tidak 
penting. Akak sayangkan adik…akak nak adik termasuk dalam golongan bidadari-bidadari 
syurga yang menjadi idaman para mujahid. Maafkan akak..akak harap kehadiran surat ini tidak akan menjadi hijab kepada keakraban kita sebelumnya, maafkan akak..”
Yang menyayangimu,
Kak Wie

Inilah antara surat-surat “cinta” yang pernah saya terima daripada insan-insan yang amat mencintai saya. Banyak lagi sebenarnya, dan ini hanyalah salah satu daripadanya.Untuk apa saya paparkan surat ini?
“Ya Allah jauhilah aku daripada perasaan riak, takbur, sombong dan angkuh……..”
Tujuannya ialah untuk kita contohi metodologi yang digunakan oleh kakak saya dalam usaha dakwah, amar makruf nahi mungkar ke atas diri saya. Metodologi dakwah yang digunakan oleh beliau penuh hikmah seperti mana firman Allah s.w.t  dalam surah an-Nahl, ayat 125 ;
 “ Serulah mereka kepada jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka menurut cara yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Tuhan mu lebih tahu siapa yang tersesat jalannya, dan Dia lebih tahu pula orang-orang yang menurut jalan yang benar”
Menurut tafsir Ibnu Katsir, ayat ini menerangkan tentang firman Allah s.w.t yang memerintahkan Rasul-Nya supaya menyeru manusia, mengajak ke jalan Allah s.w.t dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat serta anjuran yang baik. Dan jika orang itu mengajak berdebat, maka bantahlah mareka dengan cara yang baik. Allah s.w.t lebih mengetahui siapa yang durhaka tersesat dari jalan-Nya dan siapa yang bahagia berada dalam jalan yang lurus yang ditunjukkkan oleh Allah s.w.t. Maka janganlah menjadi kecil hatimu hai Muhammad bila ada orang-orang yang tidak mahu mengikutmu dan tetap berada dalam jalan yang sesat. Tugasmu hanyalah menyampaikan apa yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepadamu dan memberi peringatan kepada mereka, sedang Allah s.w.t lah yang akan menentukan dan memberi petunjuk, serta DIA-lah yang akan meminta pertanggunggjawaban hamba-Nya kelak di hari kiamat. Sebagai seorang da’ie juga seharusnya mempunyai rasa cinta terhadap mad’u.  Seorang Da’ie yang berjiwa “ cinta mad
mad’u” akan sentiasa cuba belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh
meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dibawa.

Jiwa Cinta Seorang Daie
Seterusnya, dalam surah an-Nahl ayat 126 -128 juga, Allah s.w.t telah berfirman ;
“ Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan jangan (pula) bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan bahawa dalam ayat ini, Allah s.w.t berfirman memerintahkan orang untuk berlaku adil dalam membalas perlakuan yang tidak patut dan wajar dari orang lain. Hendaklah ia melakukan pembalasan sama dan seimbang dengan perlakuan yang diterimanya. Akan tetapi jika ia dapat menahan dirinya dan bersabar, maka kesabaran itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.
Kemudian Allah s.w.t juga berfirman, “ Bersabarlah engkau hai Muhammad, dan sesungguhnya engkau tidak dapat berlaku sabar melainkan dengan pertolongan Allah s.w.t dan kehendakNYa. Dan janganlah engkau bersedih hati dan bersempit dada menghadapi orang-orang yang menentangmu dan melakukan tipu daya terhadap dirimu dan ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan tetap melindungimu , menolongmu, dan menenangkan engkau di atas musuh-musuhmu. Sesungguhnya Allah s.w.t menyertai orang-orang yang bertaqwa
dan beramal baik.
Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu. Mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?” Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”. Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Cinta Seorang Da’ie.
Bagi kita yang berperanan sebagai Da’ie, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’ie.
Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be understood”.
Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwa dan cintanya sebagai seorang Da’ie tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.
1.      Masalah Sikap
2.      Masalah Akhlaq
Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith. Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah………’ .
Mungkin masih ramai dalam kalangan agamawan sekarang yang masih keliru akan erti dan konsep dakwah itu sendiri, tidak dapat dinafikan wujud dalam kalangan da’ie yang hanya menjadi golongan “tabi’ tabien”, hanya ikut sahaja tanpa berusaha untuk mengkaji dan memahami tugas dan peranan seorang da’ie yang sebenarnya. Hal inilah yang menyebabkan timbulnya masalah mad’u “menyampah” dengan golongan da’ie. Cara pembawaan atau metodologi dakwah yang digunakan tidak sesuai. Contohnya, dalam menganjurkan sebuah program islamik, pengisian dakwah yang disampaikan tidak “mesra mad’u”, terlalu banyak bermain dengan persoalan hukum-hukum. Daie tidak cuba untuk mengeksploitasikan pengucapan dakwah ke arah sebuah perbincangan yang berbentuk lebih santai dan menarik.
Kesimpulannya, setiap individu bertanggungjawab atas tugasnya sebagai seorang da’ie, dan hendaklah menunaikan kewajipan berdakwah mengikut kemampuan dan metodologi dakwah masing-masing. Sabda Rasulullah s.a.w : “ Sampaikanlah apa yang (kamu terima) daripadaku walaupun hanya satu ayat…”  Dan Firman Allah s.w.t : “ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang memanggil kepada Allah s.w.t , dan dia mengerjakan perbuatan baik dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri ( ampang ).
                                                                                                            

Masjid Sebagai Sekolah Kedua



PENULISAN RENCANA :         

TAJUK : MASJID SEBAGAI SEKOLAH KEDUA
Oleh : Siti Noor Rohaniza Habari



Institusi masjid mempunyai peranan yang sangat besar dalam memperkasa agenda pentarbiyahan ummah. Tika kegemilangan Islam di bawah pentadbiran Rasulullah s.a.w, masjid menjadi pusat pentadbiran yang utama. Malah, masjid pada ketika itu juga turut menjadi tempat tahanan tawanan perang, tempat penyimpanan senjata-senjata peperangan dan sebagainya. Sungguh diluar hemat kita rasanya untuk menjadikan masjid sebagai markas ketenteraan pada masa kini.
Cuba kita renung kembali bagaimana Rasulullah telah mampu menjadikan masjid sebagai “One Stop Centre” bagi umat Islam di zaman baginda sehingga mampu menjadi salah satu lambang kesatuan ummah pada tika itu dan bagaimana Rasulullah s.a.w mampu menjadikan masjid sebagai medan pentarbiyahan ummah yang paling ampuh sehingga mampu membuatkan seantero dunia tidak lagi memandang enteng akan kemampuan dan kekuatan umat Islam. Hatta, setelah berkurun lama sepeninggalan bagindapun, umat Islam masih lagi digeruni terutamanya oleh para musuh Islam laknatullah. Buktinya, sehingga kini mereka sanggup berhabisan wang ringgit, tenaga masa dan menggadaikan nyawa demi untuk memikir dan merancang pelbagai agenda dan strategi untuk menghapuskan umat Islam.
Bermula daripada kanak-kanak hinggalah kepada yang tua, masjid mampu memainkan peranannya sebagai medan pentarbiyahan yang ampuh kepada setiap lapisan ummah kerana realitinya kebanyakan golongan masyarakat yang sering berkunjung ke masjid atau yang menjadikan masjid sebagai rumah keduanya, adalah terdiri daripada kalangan yang sedar akan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mempunyai keinginan untuk ‘mentarbiyah’ diri menjadi seorang muslim yang lebih bertaqwa.  
Sabda Rasulullah s.a.w, 
“ Telah dijadikan untukku (dan umatku) bumi sebagai masjid dan sarana penyucian diri ”.
                                                                    (HR Bukhari dan Muslim melalui Jabir bin Abdullah)

Firman Allah s.w.t juga, yang bermaksud : 
" Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan ”                                                                 
                                                                                                                   ( Surah an-Nur : 36-37 )

Antaranya , masjid seharusnya mampu untuk memainkan peranan sebagai sekolah kedua remaja, di mana di sini remaja akan di tarbiyah pada aspek jasadiyah dan kerohanian. Apakah yang dimaksudkan sebagai sekolah kedua ini? . Menurut Storn dan Church, mereka menyifatkan remaja sebagai satu keadaan apabila individu dapat membezakan dirinya daripada alam kanak-kanak dan bersedia untuk melangkah ke alam dewasa. Peringkat umur tersebut bermula ketika individu berumur 13 tahun yang menandakan bermulanya cabaran dan perkembangan seseorang individu itu. Pada masa ini wujud tanda-tanda kematangan dari segi fizikal, pertumbuhan keinginan seksual, keinginan membuktikan kejantinaan masing-masing dan kesedaran tentang keperluan kerjaya.
Oleh yang demikian, zaman remaja merupakan satu tempoh yang penuh dengan kekeliruan, konflik dan krisis terutama berkaitan dengan diri kerana berlaku perubahan besar dari sudut biologi. Pada tika ini remaja sering dihambat oleh sifat ghurur , iaitu penyakit tertipu oleh perasaan sendiri. Konsep kendiri yang lemah membentuk hipotesis identiti yang lemah, ditambah pula dengan gelombang arus kemodenan dan kemaraunya asas pendidikan agama dalam diri telah menjadikan remaja sekarang berada pada tahap yang kritikal dari sudut akhlak dan keperibadian.
Justeru itu, institusi masjid perlu memainkan peranan semaksimum mungkin dalam usaha untuk menjadikannya sebagai sekolah kedua remaja atau khususnya lagi, sebagai medan pentarbiyahan jasadiyah dan kerohanian remaja agar hasil daripada tarbiyah yang telah diterima akan mampu menjadi perisai kepada remaja untuk menangkis setiap panahan cabaran dalam melalui mehnah dan tribulasi kehidupan pada masa yang mendatang. Antara yang boleh dilakukan ialah, mengadakan program-program motivasi atau muhasabah yang sesuai untuk kalangan remaja, menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti ekspidisi, perkhemahan, olahraga, program-program hiburan dan kesenian islam dan sebagainya.
Selain daripada itu, pihak pentadbiran masjid boleh menubuhkan satu kelab khas untuk remaja-remaja masjid. Memanfaatkan tenaga dan idea remaja dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti dan program-program masjid. Dengan ini, remaja-remaja akan merasakan bahawa diri mereka juga mempunyai kepentingan dalam mengimarahkan masjid di tempat masing-masing.

Disamping itu, melalui penglibatan para remaja ini dalam aktiviti-aktiviti ataupun program-program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid, secara tidak langsung dapat mendedahkan remaja-remaja ini akan keadaan sesebuah program atau aktiviti yang dianjurkan mengikut lunas-lunas syari’at Islam. Di sinilah secara tidak langsungnya juga membawa agenda tarbiyah dalam diri remaja-remaja melalui pemerhatian dan penglibatan mereka, mereka dapat merasai sendiri dan mampu membuat perbandingan, sekaligus dengan izin Allah s.w.t tidak mustahil remaja-remaja inilah suatu masa nanti yang akan menjadi “real supporter” kepada pengimarahan dan pembangunan institusi masjid.
Andai pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu masjid mampu menjadi sebuah institusi pembangunan sumber manusia yang produktif , tidak mustahil institusi masjid yang sedia ada pada masa kini juga mampu untuk menjadi sebuah institusi pembangunan modul insan yang inovatif. Namun, janganlah disempitkan peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah institusi masjid tersebut kerana Rasulullah s.a.w semdiri telah memberikan teladan kepada umatnya bagaiman dan sejauh mana sebenarnya peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah institusi masjid.
Bukanlah bermakna untuk mengambil alih semua peranan institusi-institusi lain, tetapi disinilah sebenarnya kayu ukur kepada sejauh mana kita mampu untuk menguruskan sumber manusia yang kita ada untuk meneruskan gerak kerja menegakkan syiar Islam pada masa mendatang. Disinilah juga sebenarnya, tempat terbaik untuk mentarbiyah ‘produk’ muslim kerana masjid merupakan tempat yang dirahmati Allah, rumah Allah dan taman-taman syurga-Nya di dunia.
Firman Allah s.w.t ;
 “ Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk..”
                                                                                                          ( Surah At-Taubah : Ayat 18 )

Katarsis .......


Katarsis

Merisik katarsis di hitam malam,
Moga ketemu nova indah menyusut gundah…


- Laskar Sang Pemimpi -


Hanya Wanita Biasa




Hanya Wanita Biasa
Aku tidak mendambakan Khadijah r.a,
tabah mengharungi getir bersama suaminya Rasulullah s.a.w,
 Bukan jua Aisyah r.a,                          
bijak menawan cinta kekasih Allah s.w.t,
 Jauh sekali Sarah,
sanggup diduakan demi imannya pada  takdir Allah,
 Aku jua tidak mendambakan Hajar yang punyai hati tegar,
 Utuh imannya membuat diri tidak gentar ditinggalkan suami
 bersama anak kecil di padang pasir yang gersang,
 hati ralat...sebak mengalirkan air pilu,
 namun sesekali tidak berkurang cinta pada kekasih hati,
 kerana yakin suami yang amat dikasihi taat perintah Rabbul Izzati....


 Aku hanya dambakan wanita biasa,
 punya hati nurani yang tak dapat dibohongi....
 hanyalah wanita biasa,
kaum Hawa yang memang rapuh hatinya....
 hanya wanita biasa yang damba difahaminya jiwanya............. 


- Laskar Sang Pemimpi -