DOA  terkadang tidak serupa minta, minta lain tapi buat lain, malah ada juga  bertentangan dengan apa yang kita minta dan sebut "amiin".
Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, "amin" tidak tahu dan faham apa yang imam berkenaan baca. 
Doa sebenarnya permintaan, ia perlu difahami kemudian baru ia dapat masuk ke dalam hati. 
Kalau  main minta atau main angkat tangan saja tetapi tidak memahami apa-apa  isi kandungan doa berkenaan ia dianggap sebagai bermain-main ketika  berdoa. 
Sudah berpuluh tahun kita meminta perkara sama tetapi masih tidak dapat-dapat. 
Sebenarnya,  bukan Allah tidak perkenankan tetapi kita sendiri hanya pandai meminta  tetapi tidak pandai mencari. Minta tetapi tidak mencari sama halnya  dengan berangan-angan. Antara yang wajib kita minta setiap hari adalah  ayat "ihdinassiratal mustaqim" yang dibaca 17 kali setiap hari. 
Maksudnya adalah tunjuklah kami jalan yang lurus. Kita wajib membacanya setiap kali sembahyang. Besarnya makna doa ini adalah ia tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah terlebih dahulu.
Bahawa  segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia itu adalah Tuhan yang Maha  Pemurah lagi Maha Penyayang. Doa ini tidak didahulukan ia, melainkan  setelah kita berikrar mengaku sebenar-benarnya bahawa hanya Allah, Tuhan  yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan. 
Setiap  hari minta "jalan yang lurus" tahukah kita apa jalan yang lurus itu?  Kalau tidak tahu kena belajar dan membaca. Jalan yang lurus itu sangat  penting. 
Setengah  remaja hanya tahu jalan betul saja, jumpa jalan betul terus merempit.  Orang Palestin mati di jalan Allah tetapi kita mati di jalan betul. 
Kalau  kita perhatikan sebaik saja meminta jalan yang lurus, "ihdinassiratal  mustaqim" Allah mentafsirkan jalan lurus itu adalah Allah sudah berikan  nikmat-Nya kepada orang yang terdahulu. Siapakah orang-orang ini? 
Mereka  adalah Rasul, Nabi, sahabat dan Aulia' . Apakah itu nikmat? Itulah  nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan,  barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus. Rasul, Nabi, sahabat dan  Aulia melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita  minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita  benar-benar sampai kepada Allah. Jalan yang lurus inilah yang akan  sampai kepada Allah. 
Selain  itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan  lagi dalam surah Al-Fatihah ini, minta dijauhkan kita daripada dua jalan  yang tidak sampai kepada Allah. Itulah dia jalan orang yang Allah  dimurkai dan jalan orang yang sesat yang tidak mempercayai Allah seperti  Namrud dan Firaun. Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang  mendapat laknat Allah. Jalan orang yang sesat pula adalah Yahudi dan  Nasrani (kristian). 
Walaupun  mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui itu adalah  bertentangan dengan kehendak Tuhan. Justeru, mereka tidak akan sampai  kepada Tuhan. Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah mereka yang  mengikuti jalan yang lurus. Jalan ini ditempuh oleh Nabi, Rasul,  Sahabat, Tabiin dan juga wali Allah sebelum ini.
Maka,  kita mengharapkan belas kasihan agar Allah tunjukkan kita jalan supaya  kita boleh sampai kepada Allah. Dinyatakan tadi jalan itu adalah Iman,  Islam dan Ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Allah berikan jika  kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan  dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah  kita mendapat jalan yang lurus. Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap  saja, itu dikira belum dapat lagi. 
Cubalah  muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh ketika berkomunikasi  dengan Allah. Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian,  antara faham, kehendak dan realiti biarlah ia selari seiring dan  sejalan. Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah. 
 p/s: doa senjata mukmin
Sumber :  http://akuinsanlemah91.blogspot.com/2010/09/doa.html 


No comments:
Post a Comment