Saturday 9 April 2011

Masjid Sebagai Sekolah Kedua



PENULISAN RENCANA :         

TAJUK : MASJID SEBAGAI SEKOLAH KEDUA
Oleh : Siti Noor Rohaniza Habari



Institusi masjid mempunyai peranan yang sangat besar dalam memperkasa agenda pentarbiyahan ummah. Tika kegemilangan Islam di bawah pentadbiran Rasulullah s.a.w, masjid menjadi pusat pentadbiran yang utama. Malah, masjid pada ketika itu juga turut menjadi tempat tahanan tawanan perang, tempat penyimpanan senjata-senjata peperangan dan sebagainya. Sungguh diluar hemat kita rasanya untuk menjadikan masjid sebagai markas ketenteraan pada masa kini.
Cuba kita renung kembali bagaimana Rasulullah telah mampu menjadikan masjid sebagai “One Stop Centre” bagi umat Islam di zaman baginda sehingga mampu menjadi salah satu lambang kesatuan ummah pada tika itu dan bagaimana Rasulullah s.a.w mampu menjadikan masjid sebagai medan pentarbiyahan ummah yang paling ampuh sehingga mampu membuatkan seantero dunia tidak lagi memandang enteng akan kemampuan dan kekuatan umat Islam. Hatta, setelah berkurun lama sepeninggalan bagindapun, umat Islam masih lagi digeruni terutamanya oleh para musuh Islam laknatullah. Buktinya, sehingga kini mereka sanggup berhabisan wang ringgit, tenaga masa dan menggadaikan nyawa demi untuk memikir dan merancang pelbagai agenda dan strategi untuk menghapuskan umat Islam.
Bermula daripada kanak-kanak hinggalah kepada yang tua, masjid mampu memainkan peranannya sebagai medan pentarbiyahan yang ampuh kepada setiap lapisan ummah kerana realitinya kebanyakan golongan masyarakat yang sering berkunjung ke masjid atau yang menjadikan masjid sebagai rumah keduanya, adalah terdiri daripada kalangan yang sedar akan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mempunyai keinginan untuk ‘mentarbiyah’ diri menjadi seorang muslim yang lebih bertaqwa.  
Sabda Rasulullah s.a.w, 
“ Telah dijadikan untukku (dan umatku) bumi sebagai masjid dan sarana penyucian diri ”.
                                                                    (HR Bukhari dan Muslim melalui Jabir bin Abdullah)

Firman Allah s.w.t juga, yang bermaksud : 
" Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan ”                                                                 
                                                                                                                   ( Surah an-Nur : 36-37 )

Antaranya , masjid seharusnya mampu untuk memainkan peranan sebagai sekolah kedua remaja, di mana di sini remaja akan di tarbiyah pada aspek jasadiyah dan kerohanian. Apakah yang dimaksudkan sebagai sekolah kedua ini? . Menurut Storn dan Church, mereka menyifatkan remaja sebagai satu keadaan apabila individu dapat membezakan dirinya daripada alam kanak-kanak dan bersedia untuk melangkah ke alam dewasa. Peringkat umur tersebut bermula ketika individu berumur 13 tahun yang menandakan bermulanya cabaran dan perkembangan seseorang individu itu. Pada masa ini wujud tanda-tanda kematangan dari segi fizikal, pertumbuhan keinginan seksual, keinginan membuktikan kejantinaan masing-masing dan kesedaran tentang keperluan kerjaya.
Oleh yang demikian, zaman remaja merupakan satu tempoh yang penuh dengan kekeliruan, konflik dan krisis terutama berkaitan dengan diri kerana berlaku perubahan besar dari sudut biologi. Pada tika ini remaja sering dihambat oleh sifat ghurur , iaitu penyakit tertipu oleh perasaan sendiri. Konsep kendiri yang lemah membentuk hipotesis identiti yang lemah, ditambah pula dengan gelombang arus kemodenan dan kemaraunya asas pendidikan agama dalam diri telah menjadikan remaja sekarang berada pada tahap yang kritikal dari sudut akhlak dan keperibadian.
Justeru itu, institusi masjid perlu memainkan peranan semaksimum mungkin dalam usaha untuk menjadikannya sebagai sekolah kedua remaja atau khususnya lagi, sebagai medan pentarbiyahan jasadiyah dan kerohanian remaja agar hasil daripada tarbiyah yang telah diterima akan mampu menjadi perisai kepada remaja untuk menangkis setiap panahan cabaran dalam melalui mehnah dan tribulasi kehidupan pada masa yang mendatang. Antara yang boleh dilakukan ialah, mengadakan program-program motivasi atau muhasabah yang sesuai untuk kalangan remaja, menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti ekspidisi, perkhemahan, olahraga, program-program hiburan dan kesenian islam dan sebagainya.
Selain daripada itu, pihak pentadbiran masjid boleh menubuhkan satu kelab khas untuk remaja-remaja masjid. Memanfaatkan tenaga dan idea remaja dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti dan program-program masjid. Dengan ini, remaja-remaja akan merasakan bahawa diri mereka juga mempunyai kepentingan dalam mengimarahkan masjid di tempat masing-masing.

Disamping itu, melalui penglibatan para remaja ini dalam aktiviti-aktiviti ataupun program-program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid, secara tidak langsung dapat mendedahkan remaja-remaja ini akan keadaan sesebuah program atau aktiviti yang dianjurkan mengikut lunas-lunas syari’at Islam. Di sinilah secara tidak langsungnya juga membawa agenda tarbiyah dalam diri remaja-remaja melalui pemerhatian dan penglibatan mereka, mereka dapat merasai sendiri dan mampu membuat perbandingan, sekaligus dengan izin Allah s.w.t tidak mustahil remaja-remaja inilah suatu masa nanti yang akan menjadi “real supporter” kepada pengimarahan dan pembangunan institusi masjid.
Andai pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu masjid mampu menjadi sebuah institusi pembangunan sumber manusia yang produktif , tidak mustahil institusi masjid yang sedia ada pada masa kini juga mampu untuk menjadi sebuah institusi pembangunan modul insan yang inovatif. Namun, janganlah disempitkan peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah institusi masjid tersebut kerana Rasulullah s.a.w semdiri telah memberikan teladan kepada umatnya bagaiman dan sejauh mana sebenarnya peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah institusi masjid.
Bukanlah bermakna untuk mengambil alih semua peranan institusi-institusi lain, tetapi disinilah sebenarnya kayu ukur kepada sejauh mana kita mampu untuk menguruskan sumber manusia yang kita ada untuk meneruskan gerak kerja menegakkan syiar Islam pada masa mendatang. Disinilah juga sebenarnya, tempat terbaik untuk mentarbiyah ‘produk’ muslim kerana masjid merupakan tempat yang dirahmati Allah, rumah Allah dan taman-taman syurga-Nya di dunia.
Firman Allah s.w.t ;
 “ Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk..”
                                                                                                          ( Surah At-Taubah : Ayat 18 )

No comments:

Post a Comment