Saturday 9 April 2011

Jiwa Cinta Seorang Da'ie ......


PENULISAN RENCANA :


JIWA CINTA SEORANG DA’IE
Oleh : Siti Noor Rohaniza Habari



Ya Allah, aku mohon cinta-Mu dan cinta orang mencintai-Mu, serta semua amalan yang mendekatkanku kepada cinta-Mu
(Munajat Rasulullah s.a.w kepada Kekasihnya yang Maha Tinggi dan Maha Agung)

“Jiwa Cinta Seorang Da’ie...” , sengaja saya pilih tajuk yang mungkin kedengaran agak puitis bagi sesetengah orang yang berjiwa romantis. Namun bukanlah kisah cinta biasa yang ingin dibicarakan di sini, akan tetapi tentang cinta termahal yang tidak mungkin akan mampu dibeli oleh mana-mana jutawan pun atas seluruh muka bumi ini melainkan “ Jutawan Iman dan Taqwa.” 
10 tahun yang lalu , tidak pernah terlintas pun di hati ini untuk menawan cintaNya. Malah tidak pernah terdetik pun dalam sanuburi jiwa rasa “jatuh cinta” pada Dia. Saya tidak pernah ambil tahu apa-apa pun tentang diriNya. Benar,tiada sebarang rasa pun untuk mencintaiNya. 
Bersyukur kini, 10 tahun yang lalu bukan lagi saya . CintaMu kini menjadi cita-cita terulung dalam hidup. Banyak yang telah diri ini ketahui tentang diriMu. Kau buat diri jadi penasaran apabila terkenang akan kejahilan silam. Benar,saya telah jatuh cinta… izinkan diri untuk terus menerus meraih cinta-Mu ya Rabbi, cintailah hamba yang dhoif lagi hina ini.
Surat Cinta Berbau Syurga
Assalamualaikum w.b.t, maafkan akak sebab terpaksa tulis surat ni untuk adik. Akak tak punya kekuatan untuk tegur adik secara berdepan, akak tak sanggup tengok muka adik sedih, sebab akak yakin adik seorang yang baik dan akak amat menyayangi adik.
Dik, akak harap adik gunakanlah handphone yang akak bagi dengan sebaiknya. Akak bagi adik 
handphone untuk memudahkan adik menghubungi keluarga di kampung dan untuk sebarang 
urusan yang memerlukan adik menghubungi sesiapa yang berkenaan. Tapi, akak harap sangat 
adik dapat kurangkan berhubung dengan kenalan muslimin adik atas urusan-urusan yang tidak 
penting. Akak sayangkan adik…akak nak adik termasuk dalam golongan bidadari-bidadari 
syurga yang menjadi idaman para mujahid. Maafkan akak..akak harap kehadiran surat ini tidak akan menjadi hijab kepada keakraban kita sebelumnya, maafkan akak..”
Yang menyayangimu,
Kak Wie

Inilah antara surat-surat “cinta” yang pernah saya terima daripada insan-insan yang amat mencintai saya. Banyak lagi sebenarnya, dan ini hanyalah salah satu daripadanya.Untuk apa saya paparkan surat ini?
“Ya Allah jauhilah aku daripada perasaan riak, takbur, sombong dan angkuh……..”
Tujuannya ialah untuk kita contohi metodologi yang digunakan oleh kakak saya dalam usaha dakwah, amar makruf nahi mungkar ke atas diri saya. Metodologi dakwah yang digunakan oleh beliau penuh hikmah seperti mana firman Allah s.w.t  dalam surah an-Nahl, ayat 125 ;
 “ Serulah mereka kepada jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka menurut cara yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Tuhan mu lebih tahu siapa yang tersesat jalannya, dan Dia lebih tahu pula orang-orang yang menurut jalan yang benar”
Menurut tafsir Ibnu Katsir, ayat ini menerangkan tentang firman Allah s.w.t yang memerintahkan Rasul-Nya supaya menyeru manusia, mengajak ke jalan Allah s.w.t dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat serta anjuran yang baik. Dan jika orang itu mengajak berdebat, maka bantahlah mareka dengan cara yang baik. Allah s.w.t lebih mengetahui siapa yang durhaka tersesat dari jalan-Nya dan siapa yang bahagia berada dalam jalan yang lurus yang ditunjukkkan oleh Allah s.w.t. Maka janganlah menjadi kecil hatimu hai Muhammad bila ada orang-orang yang tidak mahu mengikutmu dan tetap berada dalam jalan yang sesat. Tugasmu hanyalah menyampaikan apa yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepadamu dan memberi peringatan kepada mereka, sedang Allah s.w.t lah yang akan menentukan dan memberi petunjuk, serta DIA-lah yang akan meminta pertanggunggjawaban hamba-Nya kelak di hari kiamat. Sebagai seorang da’ie juga seharusnya mempunyai rasa cinta terhadap mad’u.  Seorang Da’ie yang berjiwa “ cinta mad
mad’u” akan sentiasa cuba belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh
meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dibawa.

Jiwa Cinta Seorang Daie
Seterusnya, dalam surah an-Nahl ayat 126 -128 juga, Allah s.w.t telah berfirman ;
“ Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan jangan (pula) bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan bahawa dalam ayat ini, Allah s.w.t berfirman memerintahkan orang untuk berlaku adil dalam membalas perlakuan yang tidak patut dan wajar dari orang lain. Hendaklah ia melakukan pembalasan sama dan seimbang dengan perlakuan yang diterimanya. Akan tetapi jika ia dapat menahan dirinya dan bersabar, maka kesabaran itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.
Kemudian Allah s.w.t juga berfirman, “ Bersabarlah engkau hai Muhammad, dan sesungguhnya engkau tidak dapat berlaku sabar melainkan dengan pertolongan Allah s.w.t dan kehendakNYa. Dan janganlah engkau bersedih hati dan bersempit dada menghadapi orang-orang yang menentangmu dan melakukan tipu daya terhadap dirimu dan ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan tetap melindungimu , menolongmu, dan menenangkan engkau di atas musuh-musuhmu. Sesungguhnya Allah s.w.t menyertai orang-orang yang bertaqwa
dan beramal baik.
Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu. Mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?” Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”. Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Cinta Seorang Da’ie.
Bagi kita yang berperanan sebagai Da’ie, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’ie.
Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be understood”.
Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwa dan cintanya sebagai seorang Da’ie tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.
1.      Masalah Sikap
2.      Masalah Akhlaq
Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith. Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah………’ .
Mungkin masih ramai dalam kalangan agamawan sekarang yang masih keliru akan erti dan konsep dakwah itu sendiri, tidak dapat dinafikan wujud dalam kalangan da’ie yang hanya menjadi golongan “tabi’ tabien”, hanya ikut sahaja tanpa berusaha untuk mengkaji dan memahami tugas dan peranan seorang da’ie yang sebenarnya. Hal inilah yang menyebabkan timbulnya masalah mad’u “menyampah” dengan golongan da’ie. Cara pembawaan atau metodologi dakwah yang digunakan tidak sesuai. Contohnya, dalam menganjurkan sebuah program islamik, pengisian dakwah yang disampaikan tidak “mesra mad’u”, terlalu banyak bermain dengan persoalan hukum-hukum. Daie tidak cuba untuk mengeksploitasikan pengucapan dakwah ke arah sebuah perbincangan yang berbentuk lebih santai dan menarik.
Kesimpulannya, setiap individu bertanggungjawab atas tugasnya sebagai seorang da’ie, dan hendaklah menunaikan kewajipan berdakwah mengikut kemampuan dan metodologi dakwah masing-masing. Sabda Rasulullah s.a.w : “ Sampaikanlah apa yang (kamu terima) daripadaku walaupun hanya satu ayat…”  Dan Firman Allah s.w.t : “ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang memanggil kepada Allah s.w.t , dan dia mengerjakan perbuatan baik dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri ( ampang ).
                                                                                                            

No comments:

Post a Comment